Thursday, December 18, 2008

Pada masa yang sama, orang-orang daripada keturunan Cina dan India melalui MCA dan MIC bersedia meniktiraf hak keturunan Melayu dari segi tampuk pemerintahan, hak istimewa orang-orang Melayu dalam bidang ekonomi, pentadbiran dan pendidikan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kebudayaan Melayu sebagai teras kebudayaan kebangsaan dan agama Islam sebagai agama rasmi Negara. Berdasarkan kebijaksanaan kepimpinan dalam mewujudkan persefahaman, tolak ansur and kerjasama inilah, Persekutuan Tanah Melayu mendapat kemerdekaannya tanpa titsan darah dan ttisan air mata. Mereka sacara jujur dan saling hormat menghormati telah sepakat berkorban mengenepikan kepentingan diri demi kepentingan negara. Sikap dan semangat ini mereke terjemahkan dalam kontrak sosial, yang sebahagian utamanya disuratkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.
Dalam Perlembagaan Persekutuan, dengan jelas disuratkan bahawa Islam adalam agama Persekutuan (Perkara 3), Yang DiPertuan Agong adalah Ketua Utama Negara (Perkara 32), bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 152), dan rizab kuota mengenai perkhidmatan, biasiswa, permit dan sebagainya untuk orang Melayu dan bumiputera (Perkara 153). Oleh kerana pernyataan perlembagaan ini mempunyai kaitan dengan kontak sosial, hal tersebut tidak seharusnya ditentang atau dicabar, sebaliknya difahami, dihayati dan diterima sebagai sesuatu yang perlu dihormati demi keharmonian yang menyeluruh.
Kepentingan Kontrak Sosial
Dalam dunia hari ini, setiap perkara yang diketengahkan kepada orang ramai perlu kepada hujah dan justifikasi tentang kepentingan sesuatu perkara itu. Begitulah halnya dengan kontrak sosial ini.
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan system demokrasi, keamanan di Malaysia adalah suatu jaminan untuk mencapai kemakmuran. Namun begitu, tarikan demokrasi merupakan tuntutan yang sulit bagi negara ini yang masyarakatnya bersifat majmuk dengan kepelbagaian kumpulan etnik, agama, budaya, latar belakang ekonomi dan sebagainya. Sekiranya kepelbagaian ini tidak upaya ditangani dengan cekap dan berkesan, apa yang sering berlaku ialah pertelingkahan, perpecahan dan kekacauan. Justeru kontrak sosial adalah satu alat penting bagi mencapai tuntutan demokrasi sekaligus mengundang perpaduan/
Pada umumnya kontrak sosial mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, kontrak sosial penting untuk mewujudkan masyarakat yang kental, utuh dan kukuh berasaskan kesedaran terhadap pentingnya faham memahami, hormat menghormati, harga menghargai dan bertolak ansur. Manfaatnya terjelma dalam kehidupan sebuah negara yang aman damai dapat dinikmati bersama. Justeru kontrak sosial adalah semangat dalaman yang kepentingannya tidak semata-mata dihujahkan bersandarkan perundangan dan perbincangan ilmiah, tetapi juga dari segi hakikat sejarah dan keihlasan hati menjunjung hasrat murni sebuah Negara.
Secara ringkas, antara lain kepentingan kontrak sosial ini dapat dirumuskan sebagai berikut :
· Untuk melanjutkan kelangsungan pentadbiran yang cekap;
· Untuk mewujudkan keadaan politik yang stabil;
· Untuk menjamin keselamatan, keamanan dan kesejahteraan rakyat;
· Untuk memupuk semangat patriotism dan cintakan tanah air;
· Untuk mewujudkan masyarakat yang bebas dan adil;
· Untuk mencapai integrasi nasional; dan
· Untuk menjamin hak-hak istimewa orang Melayu;
Cabaran Terhadap Kontrak Sosial
Dalam usaha kerajaan untuk membentuk sebuat masyarakat Melayu yang maju,aman dan bersatu padu, soal kontrak sosial merupakan satu topic yang bukan sahaja sering diperbincangkan, tetapi juga dipertikaikan oleh segelintir rakyat Malaysia, terutama perkara-perkara berkaitan dengan hak keistimewaan orang-orang Melayu. Mereka menganggap bahawa kewujudan hak keistimewaan Melayu ini menjejaskan pembentukan negara Malaysia yang adil dan saksama berteraskan konsep meritokrasi.
Mereka yang mempertikaikan perkara ini sebenarnya kurang jelas dengan kefahaman tentang kedudukan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak seperti yang diperuntukan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Apa yang perlu difahami ialah bahawa hak keistimewaan orang Melayu telah diiktiraf sebagai satu hak asasi dari segi undang-undang (fundamental legal right) yang wujud sebelum merdeka sekaligus diterima secara total dalam rundingan kontrak sosial. Tidak ada tolak ansur tentang perkara ini. Laporan Suruhanjaya Perlembagaan Reid memperakukan hal tersebut dalam S164 seperti berikut:
“When we came to determine what is the special position of the Malays, we found that as a result of the original treaties with the Malay states, reaffirmed form time to time, the special position of the Malays has always been recognized. This recognition was continued by the provision of cl 19(1) (D) if the Federal Agreement 1948 which made the High Commissioner responsible for safeguarding the special position of the Malays and the legitimate interests of other communities. We found that there are now four matters with regards to which the special position of the Malays is recognized and safeguarded”
Berdasarkan kenyataan di atas, nyatalah bahawa hak keistimewaan orang-orang Melayu yang terus kekal dalam Perlembagaan Persekutuan hingga hari ini adalah hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan. Hak ini wujud dalam kontrak sosial bukan sebagai sorong-tarik persetujuan, tetapi merupakan pengiktirafan yang perlu dipelihara dan dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan.
Justeru apabila Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Persatuan-Persatuan Cina (Suqui) dalam dokumen rayuan 17 perkara yang dikemukakan itu antara lain mempersoalkan Perkara 153 sebagai tidak relevan pada masa ini dengan mengesyorkan supaya system kuota dalam beberapa bidang tertentu diperuntukan khusus kepada orang-orang Melayu dihapuskan dan digantikan dengan system pengagihan berasaskan kebolehan atau meritokrasi, maka dengan sendirinya tindakannya itu bukan sahaja mencabar semangat kontrak sosial, tetapi juga telah mengugat fundamental legal right. Hal ini perlu dijelaskan bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham; malah boleh dipertahankan dengan hujah-hujah nyata berdasarkan alas an perundangan dan bukti sejarah seperti yang disebutkan sebelum ini.
Sesungguhnya hak keistimewaan orang Melayu adalah persoalan yang amat sensitif. Hal itu kini tidak boleh diungkit atau dibangkitkan kerana dengan jelas termaktub dalam Perlembagaan dengan sifatnya sebagai fundamental legal right itu. Kerana itu, sesiapa yang mencabarnya bererti cuba menimbulkan provokasi dengan sengaja mengundang kemarahan, perselisihan, ketegangan dan mungkin kekacauan. Hal inilah sewajarnya kita bersama-sama memahami dan sentiasa berusaha mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini akibat daripada ketidakfahaman terhadap asas, kandungan dan semangat kontrak sosial itu.
Cabaran lain ialah dari segi persoalan sama ada Malaysia sebuah negara Islam atau Negara sekular. Persoalan ini timbul kerana ada pihak yang merasakan pernyataan yang termaktub dalam Perlembagaan , Perkara 3 : “ Islam merupakan agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dalam aman dan harmoni di sebarang tempat dalam Persekutuan” itu memerlukan penjelasan lanjut. Penyataan ini dianggap sebagai tidak jelas, kabur dan mengelirukan kerana tidak meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi, malah tidak ada peruntukan bagi menghalang hak-hak sivil dan politik sesiapa pun, sama ada beragama Islam atau tidak. Begitu juga halnya dengan pengiktirafan mutlak di dalam Perlembagaan yang menunjukkan bahawa agama Islam itu mempunyai kepentingan yang lebih tinggi mengatasi agama lain dalam soal pentadbiran negara. Justeru hal yang sedemikian rupe perlu diteliti dan diperhalusi supaya sebarang kekeliruan tidak berbangkit yang boleh memungkinkan tergugatnya semangat kontark sosial itu.
Selain soal berkaitan hak keistimewaan orang-orang Melayu dan agama Islam, cabaran yang dihadapi berkait dengan kontrak sosial ialah status bahasa Melayu. Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi di semua peringkat pentadbiran kerajaan, meliputi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Awam. Walaupun begitu, pemakaiannya kini kelihatan diremehkan dalam pelbagai majlis rasmi Negara, taklimat atau mesyuarat, surat menyurat dan sebagainya.
Dalam pada itu, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam system pendidikan negara mengalami gangguan oleh perubahan sistem yang mendadak. Kerana itu, cabaran yang dihadapi pada masa ini ialah memperkasa penggunaan bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan dan dirundingkan atas semangat kontrak sosial semestinya dipertahankan, tidak terkorban dan dikompromikan atas apa juga alasan.
Kesimpulan
Kontrak sosial di Malaysia lebih merujuk kepada permuafakatan dan perkongsian hidup bersama secara aman harmoni antara penduduk dalam masyarakat majmuk di Negara ini. Seperti dalam mana-mana kontrak atau perjanjian, walaupun ada sebahagiannya yang tidak disuratkan dan boleh dipinda mengikut keadaan, namun segala perubahan itu mestilah merupakan persetujuan bersama atau keizinan bersama. Kontrak atau perjanjian tidak boleh diubah oleh satu pihak sahaja. Semua yang terlibat dalam perjanjian itu mestilah bersetuju kepada perubahan atau pindaan yang hendak dilakukan.

Di samping itu, asal usul dan rentetan sejarah kontrak sosial ini mesti didedahkan, diperturunkan, dipelajari dan dihayati oleh setiap lapisan masyarakat, terutama generasi muda daripada kalangan anak-anak Melayu, Cina dan India. Mereka mesti memahami dan menghargai apa yang tersirat dan yang tersurat dalam kontrak sosial itu. Hal ini amat penting kerana kontrak sosial dapat diertikan sebagai resepi kehidupan masyarakat Malaysia yang bersatu padu, aman makmur dan harmoni. Penyebaran luas maklumat mengenai kontrak sosial perlu dijalankan secara bersungguh-sungguh, terutama melalui system pendidikan di pelbagai peringkat rendah, menengah, koleh dan university.
Sebagai kesimpulan, kontrak sosial adalah satu formula mewujudkan cara hidup yang dinamik, aman dan terus membangun melalui perpaduan dalam kepelbagaian berasaskan prinsip berkongsi, bekerjasama, toleransi dan bersatu padu. Formula ini sebahagian besarnya tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan yang diamalkan secara bijaksana dalam satu pakatan agung negara dengan inspirasi untuk membawa Malaysia muncul dalam peta dunia sebagai sebuah Negara maju. Tugas rakyat Malaysia ialah menghayati semangat kontrak sosial ini dengan menolak keganasan, perkauman, ketaksuban dan ekstrimisme; dan pada masa yang sama terus memperkukuhkan ikatan masyarakat majmuk ini dalam satu ikatan yang erat dan padu serta mengadunkannya dalam acuan tersendiri yang unik dan menyenangkan.
Dalam kata-kata yang ringkas, kontrak sosial menjunjung semangat keadilan dan perpaduan berasaskan kepada prinsip “ duduk sama rendah, berdiri sama tinggi”. Dan inilah semangat kontrak sosial yang perlu kita pertahankan bersama dalam sebuah masyarakat majmuk di Malaysia.










KONTRAK SOSIAL ANTARA KAUM PENDUDUK TANAH MELAYU
PENGENALAN
Sejarah kebangkitan semangat kebangsaan di Tanah Melayu memperlihatkan perkembangannya yang agak lewat. Pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua, taida terdapat dengan jelas perasaan kebangsaan yang begitu kuat. Kebangkitan pergerakan kebangsaan hanya berlaku pada masa selepas perang. Perkembangan semangat kebangsaan yang lambat itu dapat dikaitkan dengan beberapa factor. Di antaranya ialah wujudnya masyarakat majmuk terdiri daripada tiga bangsa besar iaitu Melayu, Cina dan India yang mempunyai kebudayaan dan agama yang berlainan. Selain daripada itu kumpulan pendatanh ini telah mengasingkan diri mereka daripada masyarakat tempatan.
Orang-orang Cina merupakan sebahagian besar penduduk di Tanah Melayu sebelum perang. Dengan perkembangan semnagt kebangsaan di negeri Cina, fahaman revolusi berkembang ke Tanah Melayu. Pada masa itu semangat kebangsaan orang-orang Cina tertumpu ke negeri China dan belum wujud perasan taat setia terhadap Tanah Melayu.
Perasaan kebangsaan Cina dilahirkan melalui penubuhan cawangan-cawangan Kuomintang di Tanah Melayu. Dalam tahun 1937, semangat kebangsaan Cina bertukar menjadi anti-Jepun, ekoran daripada meletusnya peperangan di antara Cina dan Jepun. Semasa perasaan anti-Jepun memuncak, perasaan anti-Inggeris menjadi pudar. Sebahagian orang Cina lebih cenderung kearah fahaman komunis.
Sementara itu orang-orang India pula kurang cergas dalam pergerakan kebangsaan di Tanah Melayu. Satu-satunya pertubuhan India ialah Kerajaan Azad Hin yang ditubuhkan di Singapura. Tetapi pertubuhan ini tidak begitu penting. Dari perspektif fungsinya, pertubuhan ini hanya membangkitkan perasaan orang-orang India terhadap kaitan dan taat setia mereka kepada India.
Manakala semangat kebangsaan di kalangan orang Melayu tidak terdapat dengan jelas di awal kurun ke-20. Pergerakan yang awal lebih bersifat kebudayaan keagamaan dan sebahagian besarnya dipengaruhi Gerakan Islah Islam dikalangan kumpulan pelajar yang berpendidikan Arab. Kumpulan terpelajar yang kedua yang timbul dalam masyarakat Melayu ialah golongan yang berpelajaran Melayu berjuang untuk memperkayakan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu. Mohammed Eunos Abdullah menubuhkan Kesatuan Melayu Singapura (KMS) dalam tahun 1938, mendapat ahli-ahlinya daripada kalangan guru-guru Melayu dan belia-belia Melayu dari maktab Perguruan Sultan Idris (SITC), Tanjung Malim, Perak.
Sesetengah daripada mereka pula telah dipengaruhi oleh pergerakan sayap kiri Indonesia dan mereka memperjuangkan sebuah Kesatuan Tanah Melayu yang bebas daripada pemerintahan penjajah. Yang pentingnya mereke berkehendakkan kesatuan politik di antara Tanah Melayu dengan Indonesia dalam Indonesia Raya. Diantara pemimpin mereka termasuklah Ibrahim Yaacob dan Ishak Haji Mohammad. Namun, rancangan untuk penyatuan itu gagal apabila Jepun menyerah kalah pada tahun 1945.
Kepemimpinan dalam masyarakat Melayu moden timbul dari kalangan orang Melayu yang berpendidikan Inggeris terutamanya kakitangan awam dan para pentadbir. Mereka melindungi hak istimewa orang-orang Melayu daripada tekanan orang-orang asing. Kumpulanj ini merupakan kumpulan sayap kiri yang melampau yang menjadi ahli Parti Komunis Malaya (PKM) tetapi tidak begitu kuat dan berpengaruh.
Pendudukan Jepun di Tanah Melayu
Pendudukan Jepun di Tanah Melayu dalam banyak hal telah membangkitkan semangat kebangsaan yang kuat di kalangan orang Melayu. Jepun menduduki Tanah Melayu dari 1941 hingga 1945. Selama tempoh itu pemerintahan Jepun di Tanah Melayu telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada penduduk Tanah Melayu. Kekalahan British di tangan Jepun bukan sahaja mengubah suasana politik Tanah Melayu bahkan member bukti bahawa bangsa Asia mempu menentang kuasa Eropah. Dari perspektif kebangkitan semangat kebangsaan memperlihatkan bahawa semangat nasionalisme di kalangan orang Melayu semakin merebak dan kukuh sehingga mewujudkan semangat anti-penjajah. Pada masa pemerintahan Jepun, Tanah Melayu menghadapi krisis kekurangan makanan. Inflasi menyebabkan harga barangan melambung tinggi. Ekonomi Tanah Melayu pada masa itu lumpuh.
Realitinya pendudukan Jepun telah memberi pengajaran kepada penduduk Tanah Melayu. Mereka menyedari bahawa kuasa penjajah tidak membawa sebarang kemajuan kepada negara ini. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, perhubungan kaum di negara ini terutamanya antara Melayu, Cina dan India adalah baik dan mesra. Pihak Inggeris masih mengekalkan Raja-Raja Melayu sebagai symbol ‘Ketuanan Melayu supaya tidak menimbulkan sebarang konflik di kalangan rakyat pelbagai kaum ini.
Namun demikian apabila Jepun mentadbir Tanah Melayu, keadaan politik dan sosial ini turut berubah. Orang Melayu diberi keutamaan untuk mentadbir daerah sementara orang-orang Cina ditindas oleh Jepun yang menganggap mereka sebagai musuh. Tindakan ini mencetuskan permusuhan di antara orang Melayu dan orang Cina selepas Jepun menyerah kalah.
Hubungan Jepun dengan orang India di Tanah Melayu baik kerana orang India tidak menunjukkan sikap menentang Jepun. Orang India digalakkan menumpukan perhatian politik mereka kepada negara India. Satu pasukan yang dinamakan ‘Indian National Army’ (INA) telah ditubuhkan bagi membantu membebaskan India daripada penjajahan British. Semasa Jepun membuat rancangan untuk menakluk India, orang-orang India di Tanah Melayu telah mengalami kebuluran sama seperti kaum lain di Tanah Melayu.
Pihak Jepun difahamkan mempunyai satu rancangan politik bagi member kemerdekaan kepada Tanah Melayu ketika Negara ini ditadbir sebagai tanah jajahan Empayar Jepun. Namun demikian rancangan ini tidak dilaksanakan kerana Jepun mempunyai rancangan politiknya yang tersendiri.
Realitinya Jepun merupakan satu kuasa penjajah yang berbentuk baharu. Jepun lebih mengutamakan kepentingan politik dan ekonominya sehingga ia memperalatkan golongan nasionalis Melayu. Pentadbiran Jepun di Tanah Melayu menjadikan golongan nasionalis Melayu menderita sebagai satu bangsa yang tidak memiliki kebebasan.
Akibat tekanan yang semakin teruk, orang Melayu bangkit menentang Malayan Union apabila gagasan Malayan Union diumumkan selepas tamatnya Perang dunia Kedua, MPAJA yang telah ditubuhkan sebagai satu gerakan menentang Jepun telah dikuasai Parti Komunis Malaya (MCP). Parti Komunis Malaya telah melancarkan satu pemberontakan di Tanah Melayu yang menyebabkan pihak British terpaksa mengisyhtiharkan Darurat pada tahun 1948. Ketika Perang Dunia Kedua, Pejabat Tanah Jajahan (Colonial Office) di London telah melaksanakan usaha-usaha untuk menggubal satu perlembagaan baharu bagi Tanah Melayu dan berhasrat untuk mengubah taraf negeri-negeri Melayu daripada negeri-negeri yang bernaung (protectorate) kepada tanah jajahan British (colony).
Berdasarkan kajian, salah satu faktor yang menyumbang kepada kejatuhan Tanah Melayu ke tangan Jepun ialah soal pentadbiran yang tidak selaras. Pada ketika itu Tanah Melayu berada di bawah tiga pemerintahan iaitu negeri-negeri Selat, negeri-negeri Bersekutu dan negeri-negeri Tidak Bersekutu.untuk itu satu rancangan yang dinamakan Kesatuan Tanah Melayu ( Malayan Union) telah digubal. Tujuannya ialah untuk mewujudkan satu sistem politik dan bercorak “Kesatuan”.
Implikasi daripada hasrat Kerajaan British hendak menubuhkan Malayan Union itu, tiga memorandum telah diterima di London ketika Kerajaan British menggubal rancangan tersebut. Salah satu daripada memorandum itu dihantar oleh Tan Cheng Lock, seorang pemimpin Cina yang terkenal di Tanah Melayu. Kedua-dua memorandum itu menyokong supaya semua negeri Melayu disatukan di bawah kesatuan dengan kuasa dan hak politik yang sama rata bagi semua penduduknya.
Gagasan Malayan Union
Sekumpulan pelajar Melayu yang menuntut di United Kingdom telah mengemukakan memorandum yang ketiga setelah mendengar adanya dua memorandum yang dikirimkan ke London terlebih dahulu. Memorandum yang ketiga ini menentang Sultan dan hak kerakyatan mengikut prinsip jus soli tidak diamalkan. Gabungan pelajar Melayu ini berasa bimbang jika Malayan Union ditubuhkan, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan masa depan politik orang Melayu akan terhakis.
Apakah sebenarnya Malayan Union itu dan mengapakah British beriya-iya hendak menubuhkannya? Malayan Union merupakan satu percubaan Kerajaan British hendak mengubah taraf negeri-negeri Melayu yang bernaung di bawah tanah jajahan British. Gagasan Malayan Union ini menjadi satu peristiwa penting dalam sejarah Malaysia kerana ia menghidupkan dan menyemarakkan semangat nasionalisme orang Melayu. Ia juga merupakan titik permulaan perpaduan Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Menerusi Malayan Union, Kerajaan British akan menghapuskan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Kuasa Raja-Raja Melayu (Sultan) akan diambil alih oleh kerajaan British.
Mengikut Perlembagaan Malayan Union, semua negeri Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka kecuali Singapura akan disatukan dibawah pemerintahan pusat. Malayan Union akan diperintah oleh seorang Gabenor yang mempunyai kuasa sepenuhnya. Raja-Raja Melayu hanya menjadi Raja Kehormat sahaja. Perlembagaan Malayan Union juga cuba member hak kerakyatan kepada golongan bukan Melayu menerusi prinsip ‘Jus Soli’ iaitu jika seseorang lahir di Tanah Melayu selepas Malayan Union ditubuhkan maka mereka berhak menjadi warganegara Tanah Melayu. Cara ini membolehkan orang bukan Melayu mendapat kerakyatan dengan mudah.
Selain syarat-syarat di atas, Perlembagaan Malayan Unionjuga meletakkan seorang Pesuruhjaya di setiap negeri bagi mentadbir negeri-negeri dalam Malayan Union.
Penubuhan Malayan Union serta perlembagaannya telah mambangkitkan kemarahan orang Melayu. Mereka membantah dan menentang rancangan tersebut. Kedudukan Raja-Raja Melayu dan soal kerakyatan amat sensitive bagi orang Melayu dan apabila kedua-dua pihak pastilah mengundang rasa tidak puas hati dan kemarahan di kalangan orang Melayu.
Mengapakah institusi raja amat penting? Terdapat tiga asas institusi raja sebagai raja berpelembagaan. Pertama, system beraja diwujudkan dan cara bagaimana seseorang raja bagi sesebuah negeri dipilih diperuntukkan dengan jelas dalam perlembagaan. Kedua, dalam perlaksanaan fungsinya di bawah perlembagaan atau sebarang undang-undang Persekutuan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaat Menteri. Yang di-Pertuan Agong hanya boleh bertindak mengikut budi bicaranya sendiri dalam hal perlantikan seseorang Perdana Mernteri, enggan member kebenaran kepada sesuatu permintaan untuk membubar Parlimen dan juga permintaan sesuatu Mesyuarat Majlis Raja-Raja dalam hal yang melibatkan keistimewaan, kedudukan, darjat dan martabat Raja-Raja. Ketiga, Yang di-Pertuan Agong bersama-sama dengan dua Majlis Parlimen adalah menjadi Badan Perundangan Persekutuan.
Institusi Raja juga penting bagi maksud perpaduan negara, darjat negara bagi sebuah negara yang merdeka dengan mempunyai sistem raja berpelembagaan dan juga keharmonian negara. Dengan begitu pentingnya institusi raja maka adalah manjadi tanggungjawab semua rakyat yang mendukung Perlembagaan Negara untuk mendukung institusi raja mengikut lunas undang-undang. Oleh hal yang demikian, sewajarnya setiap rakyat negara ini mengetahui hak, kuasa, tanggungjawab dan perkara-perkara berkaitan dengan institusi raja. Ini adalah salah satu cara bagaimana semua pihak boleh saling hormat menghormati dalam menjamin kesejahteraan dan keharmonian rakyat.
Hasrat untuk melaksanakan Malayan Union tanpa mempedulikan sensitivity orang-orang Melayu terutamanya mengenai kedudukan Raja-Raja Melayu dan masalah kerakyatan, pihak British tetap berkeras untuk memastikan hasrat mereka itu tercapai. Lapan buah Persatuan Melayu di Johor telah muncul dan bergabung untuk menentang penubuhan Malayan Union. Pada tahun 1946, Gabunagn Melayu Semenanjung telah ditubuhkan di bawah pimpinan Dato’ Onn Jaafar. Sungguhpun orang Melayu berusaha dengan gigih untuk member tentangan terhadap penubuhan Malayan Union namun demikian kekuatan mereka masih tidak mencukupi. Justeru, cadangan-cadangan telah dikemukakan menerusi akhbar-akhbar supaya orang Melayu bersatu padu bagi menentang Malayan Union.
Kongres Melayu SeMalaya
Pada tahun 1946, satu persidangan telah diadakan di Kuala Lumpur dan telah dihadiri oleh 41 buah pertubuhan Melayu dan persetujuan telah tercapai bagi menggabungkan persatuan-persatuan tersebut yang dinamakan Kongres Melayu SeMalaya. Kongres yang telah dipengerusikan oleh Dato’ Onn Jaafar ini telah membuat keputusan untuk menubuhkan sebuah parti politik Melayu yang tunggal. Wujudnya Kongres Melayu SeMalaya tidak member sebarang kesan kepada pihak British. Walaupun kongres ini membuat pelbagai tentangan terhadap Malayan Union namun pihak British tetap berdegil hendak menubuhkan Malayan Union juga.
Pembentukan Malayan Union telah membangkitkan penentangan yang kuat daripada orang-orang Melayu yang kemudiannya bersatu menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) di bawah pimpinan Dato’ Onn Jaafar. Parti politik ini dengan keras menentang cara Mac Michael mendapatkan persetujuan dan tandatangan sultan-sultan iaitu dengan cara mengugut untuk melucutkan kedudukan mereka. Tentangan demi tentangan terhadap hasrat British hendak menubuhkan Malayan Union daripada orang-orang Melayu akhirnya menghasilkan kejayaan dan penubuhan Malayan Union terpaksa dibatalkan.
Apabila Malayan Union gagal, pada tahun 1947 Kerajaan British telah mengadakan peundingan dengan pemimpin UMNO dan wakil Raja-Raja Melayu untuk menggubal satu perlembagaan baharu. Selain UMNO terdapat pihak-pihak lain yang turut menyumbangkan idea bagi mewujudkan satu Perlembagaan Tanah Melayu yang dapat diterima oleh semua kaum.
Pada bulan Januari 1948, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani antara Raja-Raja Melayu dengan pihak British. Justeru lahirlah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada bulan Februari 1948 bagi menggantikan Malayan Union. Cirri-ciri Perlembagaan Persekutuan adalah:
1. Persekutuan Tanah Melayu terdiri daripada Negeri-Negeri Melayu,Melaka dan Pulau Pinang.
2. Singapura menjadi tanah jajahan yang berasingan.
3. Raja-Raja Melayu kekal sebagai pemerintah di negeri masing-masing.
4. Majlis Mesyuarat Negeri akan dipengerusikan oleh Sultan.
5. Negeri-negeri Melayu akan ditadbir oleh seorang ketua pentadbir yang bergelar Menteri Besar. Jawatan ini dikhaskan kepada orang Melayu.
6. Persidangan Raja-Raja Melayu boleh diadakan pada bila-bila masa.
7. Ketua Persekutuan ialah Pesuruhjaya Tinggi British. Beliau dibantu oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Dewan Perundangan Persekutuan.
8. Dewan Perundangan Persekutuan dianggotai 75 orang ahli.
9. Pesuruhjaya Tinggi mempunyai kuasa mutlak bagi memelihara hak istimewa orang-orang Melayu dan kepentingan kaum-kaum lain.
10. Kerajaan Persekutuan mengendalikan Hal Ehwal Kewangan, Kehakiman, Perdagangan, Pertahanan dan Luar Negeri.
11. Kerajaan Negeri pula mengendalikan Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Agama, Tanah, Pendidikan dan Pertanian.
12. Syarat-syarat kerakyatan telah diperketatkan. Pemohon kerakyatan mestikan mengangkat sumpah, mengaku taat setia, berkelakuan baik dan berupaya bertutur dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan fasih.
13. Sebahagian daripada syarat untuk mendapat kewarganegaraan Persekutuan Tanah Melayu ialah:
a) Lahir di Tanah Melayu dan menetap sekurang-kurangnya 8 tahun daripada 12 tahun sebelum permohonan.
b) Seseorang yang berhijrah ke Tanah Melayu dan tinggal sekurang-kurangnya 15tahun daripada 20 tahun sebelum permohonan.
Orang-orang Melayu telah menerima Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 kerana syarat-syarat kewarganegaraan telah diperketatkan. Dengan termetrainya Perjanjian Persekutuan, prinsip utama yang dapat dikekalkan dan dipertahankan ialah prinsip “ ketuanan Melayu”. Prinsip ini merupakan asas sebuah institusi politik sejak zaman berzaman.
Terbentuknya Perlembagaan Persekutuan telah memulakan satu era baru dalam sejarah Tanah Melayu kerana buat pertama kalinya orang Melayu sanggup menerima orang bukan Melayu menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Pastinya ini berikutan kejayaan UMNO dan Raja-Raja Melayu yang menolak pemberian kerakyatan secara jus soli
Apakah kesan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 ke atas sistem pentadbiran di peringkat Persekutuan dan Negeri?. Apa yang agak ketara implikasi atau kesan-kesannya adalah seperti berikut:
a) Orang bukan Melayu boleh menjadi warganegara serta mendapat hak sebagai rakyat Persekutuan Tanah Melayu.
b) Orang Melayu diiktiraf sebagai bumiputera dan diberi kedudukan istimewa.
c) Agama Islam dijadikan agama rasmi Tanah Melayu.
d) Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di samping bahasa Inggeris.

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu telah menggagalkan usaha Parti Komunis Malaya untuk menguasai Tanah Melayu. Namun mereka tidak berputus asa dan berhasrat menjayakan rancangan mereka melalui kekerasan. Justeru sementara orang-orang Tanah Melayu bersedia untuk menerima dan bekerjasama di bawah perlembagaan baru ini, Komunis mengadakan pemberontakan bersenjata.



Keadaan Darurat
Dalam bulan Jun 1948, keadaan darurat diisytiharkan di seluruh negara. Ia telah melambatkan langkah ke arah kemerdekaan. Namun dari satu segi darurat dapat membangkitkan perpaduan di kalangan orang-orang Tanah Melayu dalam kempen untuk menghancurkan pemberontakan Komunis.
Undang-undang darurat telah dikuatkuasakan pada pertengahan 1948. Berdasarkan penyelidikan muktakhir, ternampak peristiwa yang mencetuskan tindakan PKM untuk memberontak ialah pengisytiharan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 kerana dengan lahirnya PKM status quo politik sebelum Perang Dunia Kedua dan Parti Buruh berkuasa di England.
PKM penuh keyakinan dalam tempoh yang singkat sahaja ia dapat merampas kuasa. Tetapi perhitungannya kurang tepat. Pada tahun 1954, PKM terpaksa mengaku ia memerlukan strategi baru terutamanya kerana sekali lagi akan menyaksikan kemungkinan proses demokrasi akan diperkenalkan di Tanah Melayu.
Titik Perubahan Dalam Sejarah Tanah Melayu
Pada tahun 1955, YTM Tunku Abdul Rahman bertemu Chin Peng, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya di Baling, Kedah. Peristiwa ini merupakan titik perubahan dalan sejarah negara Malaysia menentang pengganas Komunis. Realitinya YTM Tunku Abdul Rahma Putra Al-Haj telah Berjaya mencungkil niat jahat sebenar Chin Peng melalui rundingan bersejarah di Baling, Kedah dan mempergunakan isu itu untuk memusnahkan pergerakan komunis di Persekutuan Tanah Melayu sekaligus mempercepatkan tamatnya darurat yang telah mengheret Tanah Melayu ke dalam keadaan huru hara selama 12 tahun.
Tanah Melayu menyaksikan perlaksanaan demokrasi dengan wujudnya pilihanraya. Dalam tahun 1951, Pilihanraya Majlis Bandaran pertama diadakan dalam bulan Disember. Pentingnya pilihanraya itu ialah pencantuman politik antara MCA dengan UMNO dan Berjaya menewaskan Parti Kemerdekaan Malaya. Pada masa yang sama, kekalahan secara beransur-ansur Komunis meyakinkan bahawa kemerdekaan telah hampir tiba. Pilihanraya Persekutuan yang pertama diadakan pada tahun 1955.
Parti Perikatan disertai pula oleh ahli ketiganya MIC dalam tahun 1953 dalam pilihanraya tersebut Parti Perikatan (UMNO,MCA,MIC) dengan manifesto kemerdekaan Tanah Melayu telah mendapat kejayaan paling cemerlang iaitu memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Kerusi tunggal telah dimenangi oleh Parti Islam SeTanah Melayu (PAS)
Manifesto ‘Ke Arah Kemerdekaan Tanah Melayu’ menjadi prinsip utama perjuangan Perikatan UMNO-MCA-MIC yang mewakili semua kaum di Tanah Melayu. Manifesto ini dijadikan panduan dalam merangka memorandum untuk diserahkan kepada suruhanjaya penggubal pelembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang dipengerusikan oleh Lord Reid. Suruhanjaya ini mengambil kira pandangan semua pihak mengenai corak perlembagaan yang bakal dibentuk.
Satu Pakatan Murni
Hakikatnya memorandum daripada Parti Perikatan mendapat perhatian utama kerana merupakan satu Pakatan Murni yang member keutamaan pada prinsip bertolak ansur serta menghormati hak-hak kaum lain. Terdapat 5 perkara penting dalam Pakatan Murni yang member kesan atau implikasi terhadap perkembangan politik di Tanah Melayu iaitu:
a) Kedudukan Raja-Raja Melayu
b) Kedudukan istimewa orang Melayu
c) Agama Islam
d) Bahasa Melayu dan
e) Kerakyatan
Pada masa itu soal kerakyatan menjadi isu kontroversi kerana orang bukan Melayu mendesak agar mereka diberi kerakyatan secara ‘Jus Soli’. Justeru orang Melayu dan pemimpin UMNO bersetuju atas dasar bertolak ansur. Bagi menghargai tolak ansur orang Melayu, orang bukan Melayu menerima 4 perkara penting iaitu:
a) Kedudukan Raja-Raja Melayu
b) Agama Islam sebagai agama Persekutuan
c) Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan
d) Kedudukan istimewa orang-orang Melayu
Keempat-empat faktor tersebut sebenarnya merupakan faktor tradisi yang telahg sedia wujud sejak zaman berzaman.
Apakah sebenarnya kesan-kesan positif Pakatan Murni terhadap Tanah Melayu?
· Sebuah kerajaan demokrasi telah terbentuk.
· Pemerintahan Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen telah lahir
· Wujudnya perpaduan kaum
· Satu masyarakat yang adil dan bermuafakat bagi membolehkan kekayaan sumber negara diagihkan secara adil dan saksama telah wujud.
Sebagai persiapan mencapai kemerdekaan, Persekutuan Tanah Melayu mestilah mempunyai sebuah perlembagaan. Satu suruhanjaya telah dilantik merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Suruhanjaya ini dinamakan Suruhanjaya Reid sempena nama Lord Reid yang menjadi pengerusi suruhanjaya ini. Tugas suruhanjaya ini adalah untuk mengesyorkan satu perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu atas dasar pemerintahan secara demokrasi berparlimen. Perlembagaan ini hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut:
1. Pembentukan sebuah Kerajaan Pusat yang mempunyai kuasa ke atas negeri-negeri.
2. Kedudukan Raja-Raja Melayu
3. Mengadakan seorang Ketua Negara yang dipilih di kalangan Raja-Raja Melayu.
4. Satu rupa bangsa bagi Persekutuan Tanah Melayu.
5. Kedudukan istimewa orang-orang Melayu.
Suruhanjaya Reid
Suruhanjaya Reid telah meminta parti-parti politik, pertubuhan dan pelbagai golongan individu mengemukakan memorandum. Sebanyak 131 memorandum telah diterima oleh Suruhanjaya Reid. Pada Februari 1957, Suruhanjaya Reid telah mengemukakan laporan atau rang perlembagaan untuk perbincangan umum.
Satu rombongan yang diwakili oleh pemimpin-pemimpin Parti Perikatan dan wakil Raja-Raja Melayu telah berangkat ke London pada Januari 1956. Matlamat utama delegasi ini adalah untuk merundingkan kemerdekaan PTM dengan kerajaan British. Rundingan ini telah menghasilkan kejayaan. Pada 8 Februari 1956, Perjanjian Merdeka telah ditandatangani.
Pada jam 12 malam 31 Ogos 1957, bendera Kerajaan British (Union Jack) diturunkan dihadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan dengan rasminya. Kemerdekaan Tanah Melayu diisytiharkan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada tarikh keramat 31 Ogos 1957 oleh Tunku Abdul Rahman Putra.


1 comment:

Kak Midah said...

Majlis Rumah Terbuka
Assalamualaikum WTB dan Salam Sejahtera,

kesempatan ini Kak Midah dengan penuh rendah hatinya ingin menjemput
ke Majlis Rumah Terbuka yang akan di adakan seperti berikut :

Tarikh : 27 Sept 2009 (Ahad)
Masa : 11.00 pagi -4.00 petang
Tempat : Kediaman Saya
Lot 70431 Kg tersusun,
Jln Gopeng,
31000 Batu Gajah

dipersilakan semua untuk hadir
kekediaman Kak Midah bersama keluarga.
Kak Midah
Ipoh
p/s: Kak Midah menjemput semua 'followers' Kak Midah diruangan ini agar kita dapat bertemu dan beramah mesra pada hari tersebut. sampai jumpa nanti ya. Mohon sebarkan kepada semua Bloger ya.